mutakhir

Takungan berbaki 78.22%

Oleh Fazurawati Che Lah

Kuala Lumpur: Empangan Sungai Selangor mencatatkan penyusutan 31.95 juta meter padu sejak perubahan cuaca dialami negara ketika ini menjadikan takungan kini berbaki 78.22 peratus.

Berdasarkan laman Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) empangan itu berupaya menampung isipadu semasa berjumlah 211.85 juta meter padu namun semalam ia menurun kepada 179.90 juta meter padu.

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga (AWER) S Piarapakaran berkata, penurunan itu adalah kesan perubahan cuaca yang dialami negara yang kini berdepan fenomena cuaca panas dikenali Equinoks.

“Ketika ini berlaku peningkatan bekalan air terawat dari pengguna ekoran kepanasan yang dialami persekitaran sekali gus isipadu air empangan cepat menyusut.

“Penyusutan itu akan berterusan sekiranya tiada langkah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menambahkan takungan melalui pembenihan awan serta keadaan cuaca panas yang mengambil tempoh lama untuk pulih,” katanya.

Sementara itu jurucakap LUAS berkata, bagi menghadapi fenomena cuaca panas LUAS sudah menjalankan pembenihan awan pada Sabtu lalu bersama syarikat pembekal perkhidmatan yang dilantik.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 26, 2015 @ 10:29am
d