mutakhir

Pantau tanah gambut

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Jabatan Alam Sekitar (JAS) dengan kerjasama beberapa agensi lain giat melaksanakan program pencegahan kebakaran di tanah gambut sebagai persiapan awal menghadapi musim panas dan kering yang dijangka semakin teruk bermula minggu depan.

Ketua Pengarah JAS Datuk Halimah Hassan, ketika dihubungi berkata, pihaknya juga sudah mula menjalankan persiapan menghadapi cuaca berkenaan dengan memantau kawasan tanah gambut yang sering terbakar melalui Pengaktifan Tetap Operasi (PTO) selain memeriksa paras air dalam saliran gambut supaya tidak menyusut.

Ia membabitkan beberapa kawasan tanah gambut berisiko tinggi di lima kawasan iaitu Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Program ini merangkumi aktiviti pembinaan sekatan saliran dan telaga air tanah bagi tujuan mengawal paras air di kawasan tanah gambut, serta pembinaan menara tinjau bagi pemantauan secara berterusan sebarang aktiviti pembakaran terbuka.

“Keadaan cuaca yang panas dan kering dijangka boleh menyebabkan peningkatan aktiviti pembakaran secara terbuka yang jika tidak dikawal boleh menyebabkan jerebu,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Sehingga 27 Januari lalu, 161 kes pembakaran terbuka dikesan dengan tiga kompaun dan dua notis arahan dikeluarkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: February 26, 2015 @ 10:32am
d