mutakhir

Awie kecewa gagal jumpa anak

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon terkenal Awie, 46, kecewa apabila tidak berjumpa dan menghubungi dua anaknya sejak mereka diambil isterinya, Rozana Misbun, 36, pada 9 Februari lalu.

Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman juga kecewa kerana sejak hari itu dua anaknya Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 5, tidak dibenarkan ke sekolah.

Awie mendakwa, tindakan Rozana seolah-olah ‘merompak’ anaknya apabila mengambil mereka di sekolah dengan cara tidak diplomatik pada 9 Februari lalu walaupun cuba dihalang guru sekolah berkenaan.

Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur sebelum ini memutuskan untuk memberikan hak penjagaan sementara (hadanah) tiga anak mereka iaitu Putra Ahmad Merrah, 8; Putra Ahmad Rezzki dan Puteri Qasseh Antasha kepada Rozana.

Dalam perintah itu, mahkamah memutuskan hak jagaan sementara ke atas tiga anak mereka diberikan kepada Rozana sehingga perintah penjagaan kekal ke atas anak-anak pasangan terbabit dikeluarkan.

Sebagai responden, Awie diberikan hak melawat di kediaman anaknya dua jam dua kali sebulan pada Sabtu atau Ahad, pada minggu pertama dan ketiga.

“Walaupun dia diberikan hak penjagaan sementara, tetapi caranya itu keterlaluan kerana dia sepatutnya mengikut perintah mahkamah iaitu membuat perbincangan dengan saya terlebih dulu,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran album Wings Live Rockestra@Istana Budaya dan Aplikasi Telefon Pintar ‘Wings Mobile App’, di Istana Budaya, semalam.

Sementara itu, cubaan Harian Metro menghubungi Rozana bagi mendapatkan penjelasannya berhubung perkara itu gagal apabila dia tidak menjawab panggilan telefon.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 7:22am
d