mutakhir

Tarikan cerita rakan berakhir di sungai

Kuala Krai: “Dia berjanji mahu mendapatkan udang untuk saya kerana tertarik dengan cerita rakan. Inilah kali pertama dia mengail di sungai dan ia berakhir dengan tragedi,” kata Hasnah Jusoh, ibu kepada peniaga yang lemas di Sungai Lebir dekat Kampung Jeram Panjang, di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.25 tengah malam itu, Ahmad Fakrul Aziz, 21, dalam perjalanan pulang selepas mengail di Sungai Lebir bersama lima rakan sebelum bot gentian mereka terbalik.

Mangsa lemas kerana tidak mahir berenang manakala lima rakan berjaya menyelamatkan diri.

Mayat ditemui orang awam jam 8.20 pagi semalam dalam jarak satu kilometer dari tempat kejadian.

Hasnah, 54, berkata, dia menyifatkan takdir anaknya untuk menemui Ilahi terlebih dulu.

“Sebelum dia mengail dia teruja mengikut rakannya. Saya maklumkan kalau teringin makan udang, beli saja di pasar tetapi dia tetap mahu mengail untuk saya.

“Saya bimbang kerana sepanjang hidup, itulah kali pertama dia ke sungai. Namun, kami tetap reda dengan kejadian ini dan bersyukur jasadnya ditemui,” katanya yang bermalam berhampiran lokasi kejadian sehingga jenazah anaknya ditemui.

Bapanya, Aziz Harun, 62, berkata, Allahyarham Ahmad Fakrul seorang peramah, tetapi Isnin lalu kurang bercakap dan tidak menegurnya apabila memasuki rumah.

“Dia juga langsung tidak menjamah makanan seperti selalu,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan II Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai Che Razak Harun berkata, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Krai serta enam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Kota Bharu dan Pengkalan Kubor menjalankan operasi mencari sejak kejadian dilaporkan.

“Mangsa ditemui orang awam kira-kira satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat dihantar ke Hospital Kuala Krai sebelum diserahkan kepada keluarga. Operasi turut dibantu polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Krai,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 8:09am
d