mutakhir

Simpan rahsia kawan lemas

Oleh Fardy Bungga

Sungai Buloh: Empat kanak-kanak berusia 11 tahun bertindak ‘mengunci’ mulut selama lima jam sebelum akhirnya memberitahu salah seorang rakan mereka lemas di kolam tadahan air.

Difahamkan lima murid Sekolah Kebangsaan Saujana Utama di sini, pergi ke kolam berhampiran kawasan perumahan mereka untuk berenang sekitar jam 5.30 petang kelmarin.

Bagaimanapun salah seorang daripada mereka, Aiman Daniel Amin Remmy,11, tenggelam lemas menyebabkan empat rakannya bertindak lari pulang ke rumah.

Namun salah seorang rakan mangsa membuka mulut dan menceritakan detik cemas dilalui sekitar jam 10.30 malam kelmarin kepada ibu mangsa yang mencari anaknya itu.

Rakan mangsa kemudian membawa beberapa ahli keluarga mangsa ke lokasi kejadian lemas itu berlaku.

Salah seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, mereka cuba untuk mencari mangsa di kolam itu namun gagal sebelum menghubungi bomba dan penyelamat.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.49 pagi dan tiba di lokasi kejadian beberapa minit kemudian.

Menurutnya, tiga jentera bersama 15 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh dan BBP Bestari Jaya dikerah ke lokasi itu.

“Mayat mangsa ditemui anggota penyelam bomba tersangkut di dasar kolam sedalam lebih tiga meter.

“Mayat mangsa berjaya ditemui pada jam 2 pagi dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, semua murid itu dipercayai pergi mandi di kolam tadahan air itu selepas selesai menghadiri aktiviti kokurikulum di sekolah.

Menurutnya, mangsa bersama dua rakannya hampir lemas, tetapi dua lagi rakannya yang berada di tebing kolam sempat menyelamatkan mereka.

“Bagaimanapun Aiman gagal menyelamatkan diri dan tenggelam. Rakan-rakannya yang panik kemudian terus pulang ke rumah masing-masing dan berdiam diri.

“Ibu mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya pada jam 10.30 malam,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, rakan mangsa akhirnya menceritakan kejadian yang berlaku selepas didesak ibu mangsa.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 8:09am
d