mutakhir

JKM Pulau Pinang dapatkan kediaman baru

Butterworth: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang akan membantu Siti Aminah Jamalluddin, 24, dan suami, Mohamad Sofi Osman, 28, mendapatkan kediaman baru selepas hasrat itu diluahkan wanita orang kurang upaya (OKU) itu.

Pengarah JKM negeri Zaitol Salleh berkata, pihaknya sedia membantu mencari kediaman baru sekiranya itu keputusan muktamad oleh Siti Aminah dan suaminya.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya sudah membuat tawaran kepada pasangan itu untuk berpindah ke rumah baru namun terbantut berikutan Mohamad Sofi enggan berjauhan daripada ibu, nenek dan saudaranya yang tinggal berhampiran.

“Namun baru-baru ini, kami dimaklumkan bahawa pasangan suami isteri itu sudah bersetuju untuk berpindah dan susulan maklumat terkini itu pegawai kami sudah memulakan usaha bagi mendapatkan kediaman yang sesuai untuk mereka.

“Keselesaan Siti Aminah dan kadar sewa berpatutan adalah perkara utama yang diteliti sebelum mencadangkan sesebuah kediaman itu disewa pasangan berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya akan cuba mendapatkan kediaman baru itu dengan segera bagi membolehkan pasangan berkenaan berpindah masuk sebelum akhir Mac ini.

Pihaknya juga akan membantu kerja perpindahan itu termasuk melakukan gotong-royong untuk mengemas barangan milik pasangan itu bagi di bawa ke kediaman baru mereka nanti.

Kini pasangan itu bersama anak tunggal mereka Muhammad Nuralif Irfan Mohamad Sofi, 2, menghuni kediaman yang daif dan sebenarnya hanya sebuah bilik yang dijadikan ruang tamu serta tempat tiga beranak itu tidur.

Selain itu, mereka tiga beranak hanya tidur di atas selimut dan tidak mempunyai tilam, manakala keadaan persekitaran di luar rumah turut kotor dan tidak mempunyai bilik air serta tandas sempurna.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 8:11am
d