mutakhir

Lambaian ditelan tanah

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop dan Asrizal Aris

Tapah: “Dia (Ikbal) sempat melambai tangan meminta diselamatkan, namun saya tidak sempat berbuat apa-apa kerana tanah jatuh begitu cepat menghempap badannya sebelum dia terus hilang dari pandangan,” kata Muhamad Faruk Abdul Rashid, 43.

Faruk saksi kejadian termasuk rakan baik kepada salah seorang mangsa yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di sebuah kawasan tapak pembinaan di Jalan Kampung Banir, Batu 3, Temoh, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, dua pekerja kontrak warga Bangladesh dikenali sebagai Md Abu Talib, 30, dan Ikbal Hossain, 32, maut selepas ditimpa tanah ketika melakukan kerja gerudi tanah di kawasan itu.

Menurut Faruk, dia sedih kerana tidak sempat menyelamat rakannya itu.

Katanya, keadaan di kawasan tapak pembinaan itu cemas apabila mendengar jeritan mangsa meminta pertolongan, namun kesemua pekerja di situ tidak dapat berbuat apa-apa berikutan tanah jatuh dengan cepat.

“Keadaan tiba-tiba jadi kelam-kabut apabila mendengar jeritan kedua-dua mangsa meminta pertolongan, namun tidak sampai beberapa saat suara berkenaan terus hilang ditelan tanah berkenaan.

“Dia (Ikbal) rakan paling rapat saya, kami sentiasa berdua pada setiap masa dan saya sangat terkilan kerana tidak dapat menyelamatkannya walaupun dapat melihatnya meminta pertolongan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kedua-dua mangsa yang maut itu berasal dari Dhaka, Bangladesh dan ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang melakukan kerja gerudi tanah.

Katanya, siasatan awal mendapati, punca kejadian berlaku apabila salah seorang operator mesin menarik mesin gerudi ke atas tanah menyebabkan tanah menggelongsor dan menimbus kedua-dua mangsa.

“Kedua-dua mangsa dipercayai sedang melakukan kerja menggerudi tanah bagi kajian tanah di kawasan pembinaan kilang itu sebelum mesin dibawa naik dan menyebabkan tanah jatuh ke arah kedua-dua mangsa.

Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat manakala kes berkenaan masih dalam siasatan,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tapah A Ravi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.31 petang dan dua jentera dengan kekuatan 17 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian didapati berlaku pergerakan tanah dan mendapati dua mangsa terperangkap menyebabkan pihaknya terpaksa menggunakan jentera pengorek.

“Mayat mangsa pertama dijumpai kira-kira jam 5.30 petang di kedalaman tiga meter dari permukaan, namun usaha mengeluarkannya mengambil masa disebabkan kaki mangsa tersepit manakala seorang lagi ditemui jam 6.40 petang dengan kedalaman sembilan meter,” katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 8:14am
d