mutakhir

Doktrin kafir sesama Islam

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Hanya menggunakan alasan seseorang itu tidak beriman, ia menjadi tiket kepada kumpulan militan Negara Islam (IS) untuk membunuh sesiapa saja, malah doktrin ciptaan sendiri itu ditanam kepada ‘pejuangnya’ di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Dikenali sebagai doktrin takfiri iaitu mengkafirkan sesama Islam, ia adalah unsur paling bahaya yang menjadi kebanggaan kepada pengikut gerakan itu kerana ia adalah ‘lesen’ paling besar untuk mengambil nyawa seseorang yang mereka dakwa tidak mengikut jalan agama.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad El Muhammady berkata, pendekatan itu termasuk mengkafirkan orang Islam sendiri yang pada pandangan mereka sudah terkeluar daripada Islam kerana mempunyai fahaman tertentu.

“Misalnya, mengatakan orang yang mengamalkan sistem demokrasi sebagai kafir dan sesiapa yang mengamalkan sistem ini darah mereka halal dibunuh. Ini yang bahaya kerana ia adalah satu pandangan salah yang dibawa IS.

“Maka, bagi mereka, sesiapa mengamalkan sistem ini seperti mengundi, menjadi wakil rakyat, menerima sistem berparlimen, berperlembagaan dianggap kafir kerana mengangkat manusia ke martabat Tuhan sebagai pembuat undang-undang.

“Implikasinya, halal darahnya dan hartanya boleh dirampas,”katanya kepada Harian Metro.

Ahmad berkata, bagi sesetengah pihak, mereka akan menerima dakwaan itu sebagai benar kerana sudah diajar untuk menolak sistem sedia ada dan menganggap orang di luar lingkungan mereka sebagai tidak betul.

“Setiap hari mereka ditanam dengan doktrin ini. Siapa yang menentang, boleh dibunuh kerana ia akan menghalang misi mereka untuk membentuk sebuah sistem Islam. Tetapi yang sebenarnya mereka ini ekstremis dan pelampau agama, bukan penegak ajaran Islam,”katanya.

Menurutnya, empat doktrin asas yang akan dijadikan fokus perjuangan adalah mereka menggunakan cerita penindasan terhadap umat Islam di seluruh dunia oleh kuasa barat terutama Amerika Syarikat dan sekutunya untuk mendapat sokongan dari umat Islam.

“Ia merangkumi isu penderitaan umat Islam yang memang berlaku seperti yang kita saksikan di Palestin, Iraq, Afghanistan dan Pakistan.

“Kedua, mereka juga akan menggunakan sentimen kekejaman rejim pemerintah untuk mendapat sokongan. Tidak dinafikan, memang terdapat pemimpin negara Islam yang bersifat kejam terhadap penduduk negara mereka, tambahan pula, nasib rakyat ini tidak terbela,”katanya.

Ahmad berkata, selepas itu, apabila umat Islam terpengaruh, gerakan IS juga akan menanam ideologi bagi menghadapi penindasan iaitu tindak balas yang bermaksud memerangi penentang dengan apa cara sekali pun termasuk pengebom berani mati serta menahan tebusan atas nama jihad.

Katanya, perekrut IS akan mencari ahli baru terdiri daripada mereka yang mencari agama dan makna hidup, tidak mempunyai ilmu agama dan memberontak untuk mendapatkan sesuatu dengan cara sendiri serta membelakangi undang-undang.

“Di Malaysia juga doktrin sama digunakan untuk mengajak rakyat kita berjuang bersama mereka. Berdasarkan apa yang berlaku di kawasan jajahan IS misalnya di Iraq kumpulan IS menindas komuniti agama lain seperti komuniti Syiah, Yazidi dan Kristian.

“Hanya ada dua pilihan sama ada memeluk Islam atau menerima hukuman dalam apa bentuk sekalipun sama ada bunuh, dihalau keluar atau diperhambakan. Mereka tidak menerima idea masyarakat majmuk dalam konteks Malaysia hari ini,”katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan dakyah yang dibawa kelompok tertentu atas nama jihad kerana ia jelas bercanggah di sisi agama.

“Islam agama yang hormati nyawa insan. Allah menjanjikan hukuman berat pada sesiapa yang membunuh tanpa sebab yang sah dari segi syariat. IS membunuh sesiapa saja yang dianggap musuh mereka. Seolah-olah Allah cipta orang kafir untuk dibunuh.

“Mereka juga seolah-olah ingin menunjuk siapa lebih ganas. Siapa lebih berani. Siapa lebih hebat. Kumpulan sesat lagi menyesatkan orang lain. Perlu dielakkan. Perlu bertaubat dan minta ampun Allah lindungi kita dari bencana ini,”katanya.

Disiarkan pada: February 27, 2015 @ 8:16am
d