mutakhir

Tumbuk muka wanita samun barang kemas

Butterworth: Penyamun kejam. Itu dilakukan sekumpulan tiga penjenayah yang sanggup menumbuk muka seorang wanita warga emas berulang kali dan membiarkan mangsa merintih menahan kesakitan dalam kejadian samun di rumahnya di Tasek Gelugor, semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, mangsa berusia 66 tahun dan juga pesara pecah bibir, berdarah gigi dan lebam muka akibat ditumbuk penjenayah terbabit selain mengalami kerugian RM60,000 selepas barang kemas miliknya dirampas.

Menurut sumber, ketika kejadian mangsa dan pembantu rumahnya sedang tidur sebelum tiga penyamun menceroboh kediamannya itu dengan memotong pagar belakang rumah.

“Suspek masuk melalui tingkap dapur dan ke bilik mangsa di tingkat atas dan mereka kemudian cuba mengikat tangan wanita terbabit.

“Namun mangsa cuba melawan dan berlaku pergelutan membuatkan suspek berang dan menumbuk mukanya bertubi-tubi hingga bibirnya pecah dan berdarah gigi,” katanya.

Sumber berkata, wanita terbabit hanya mampu merintih meminta tolong, namun tidak dihiraukan malah suspek menarik dan mengikatnya di tepi katil dan mereka mengugut memukulnya dengan lebih teruk jika melawan.

“Suspek kemudian menggeledah bilik mangsa dan mereka mengambil barang kemas milik wanita itu yang jumlahnya dianggarkan bernilai RM60,000.

“Mereka kemudian melarikan diri dan meninggalkan wanita terbabit berseorangan dan dalam keadaan lemah dan akhirnya dapat membuka ikatan,” katanya.

Mangsa kemudian bergegas ke bilik pembantu rumahnya di tingkat bawah dan dia turut membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di Hospital Kepala Batas.

“Hasil siasatan mendapati pembantu rumahnya yang berusia 34 tahun dan bekerja sejak dua tahun lalu tidak menyedari kejadian terbabit kerana dia tidur di bilik tingkat bawah,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2015 @ 5:24am
d