mutakhir

Penjara sebulan curi telefon bimbit

Melaka: Seorang buruh warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam, atas tuduhan mencuri telefon bimbit minggu lalu.

Tertuduh, Adriansyah, 33, dari Batam, Indonesia, membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri telefon bimbit jenama HTC berwarna hitam bernilai RM500 milik seorang pengunjung Jonker Walk, di sini pada jam 9.25 malam pada 14 Februari lalu di Jonker Walk, di sini.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau didenda atau kedua-dua sekali.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 7 malam hari kejadian, sepasang kekasih sedang berjalan di Jonker Walk ternampak seorang lelaki (suspek) mengekori dua wanita sebelum lelaki itu menukar laluan.

Sebaik lelaki itu menukar arah, pasangan kekasih terbabit ternampak zip beg tangan seorang wanita yang berjalan bersama rakannya terbuka lalu menegur.

Apabila wanita itu memeriksa beg tangannya, dia mendapati telefon bimbit jenama HTC Desire HD miliknya tiada.

Pasangan kekasih terbabit kemudiannya terserempak dengan lelaki yang dipercayai mencuri telefon bimbit wanita yang menjadi mangsa lalu menahan dan membawanya ke Balai Polis Jonker Walk.

Apabila polis melakukan pemeriksaan ke atas lelaki itu, didapati telefon bimbit mangsa berada pada badan lelaki terbabit.

Tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan ke atasnya kerana menanggung anak dan isteri yang tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya, Foo Yong Luk, bagaimanapun mahu tertuduh dijatuhi hukuman setimpal mengikut budi bicara mahkamah.

Selepas mendengar rayuan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara sebulan bermula dari tarikh ditangkap iaitu 14 Februari lalu.

Disiarkan pada: February 28, 2015 @ 5:30am
d