mutakhir

Daud Nor masuk hospital

Seberang Jaya: Bekas wartawan sambilan Harian Metro Mohd Daut Noor Mohamed dimasukkan ke wad Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak lima hari lalu selepas disyaki menghidap paru-paru berair.

Dia yang menggunakan nama Daud Nor ketika menyertai Harian Metro pada 1992 dikatakan rebah di tempat kerjanya di sebuah kilang sebelum dihantar ke HSJ.

Mohd Daut, 59, dari Taman Guar Perahu, Bukit Mertajam, di sini, berkata, walaupun kurang sihat pada 23 Februari lalu, dia tetap ke tempat kerjanya sebelum rebah sebelum dikejarkan ke HSJ.

“Ketika itu saya rasa kurang sihat, namun tetap ke tempat kerja kerana tidak suka duduk diam.

“Bagaimanapun kesihatan saya makin merosot apabila setiap kali ludah akan terkeluar kahak bercampur darah menyebabkan saya dihantar ke hospital,” katanya.

Semalam, Presiden Kelab Media Mutiara Pulau Pinang (MUTIARA) Zhafaran Nasib bersama beberapa ahli kelab melawat dan memberi sumbangan kepada Mohd Daut.

Mohd Daut yang ditemani isterinya Rahmah Din, 65, berkata, dia perlu menunggu 3 Mac ini untuk pengesahan penyakit dihidapi selepas pemeriksaan lanjut dijalankan.

“Saya sendiri tidak tahu apa penyakit dihidapi kerana tidak pernah masuk hospital sebelum ini, cuma disyaki menghidap paru-paru berair,” katanya yang berkhidmat dengan Harian Metro selama 13 tahun dengan menulis berita hiburan dan operasi Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) membanteras maksiat.

Walaupun tidak lagi menulis berita, dia masih aktif dalam Persatuan Penulis Pulau Pinang (2PNP).

Sementara itu, Zhafaran berkata pihaknya simpati keadaan Mohd Daut dan membuat keputusan melawat dan memberi sumbangan kepadanya.

“Sumbangan ini daripada ahli kelab MUTIARA sebagai tanda prihatin dan berharap ia membantu meringankan beban Mohd Daut walaupun tidak seberapa,” katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2015 @ 5:38am
d