mutakhir

Memperkasa Melayu

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Ribuan belia dan veteran Melayu berkumpul di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini semalam, untuk menghadiri Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu bertujuan memperkukuh saf perpaduan dalam memperkasa masyarakat Melayu.

Ada yang menempuh perjalanan beratus kilometer untuk ke lokasi itu bagi sama-sama menjayakan agenda utama perhimpunan yang menurut penganjur adalah ke arah menghidupkan semula perpaduan dan menyemarakkan kembali kehebatan Melayu.

Acara yang diserikan dengan kehadiran jemputan terdiri daripada kalangan pemimpin ulung Melayu antaranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu bermula dengan solat Maghrib berjemaah.

Kemuncak perhimpunan itu, Najib menyampaikan amanat khas yang mesej terkandung di dalamnya bukan saja untuk dihayati hadirin di stadium, malah umat Melayu yang mementingkan perpaduan di seluruh negara.

Perhimpunan itu turut dimuatkan dengan acara Pelancaran Agenda-agenda Besar Abad Ke-21, Upacara Menandatangani Waad Melayu Abad Ke-21, Mandat Pemimpin Melayu dan Pelancaran Sekretariat Tetap Gerakan Renaisans Melayu.

Seorang peserta, Musa Basirah, 61, berkata beliau sudah lama menantikan acara seumpama itu diadakan kerana menyedari hakikat perpaduan bangsa yang perlu diperkuat dan disulami semangat jati diri yang tinggi.

Musa yang tiba dari Slim River, Perak, berkata beliau dan rakan-rakan bertolak seawal jam 12 tengah hari untuk sama-sama melihat bangsa Melayu dari seluruh negara berhimpun dan bersatu di bawah satu bumbung.

“Perhimpunan seperti ini perlu terus diadakan pada masa akan datang bagi memastikan semangat bangsa Melayu tidak pudar terutama dalam kalangan generasi muda,” tegasnya.

Ramlah Shaari, 55, dari Bagan Serai, Perak, berkata beliau bangga melihat bangsa Melayu berhimpun dalam satu barisan ketika mereka berdepan dengan pelbagai cabaran.

Disiarkan pada: March 1, 2015 @ 5:21am
d