mutakhir

YADIM pantau laman ekstremis

Kota Bharu: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) sentiasa memantau laman sosial terutama Facebook yang mempengaruhi golongan muda untuk terbabit dalam kumpulan ekstremis iaitu kumpulan militan Negara Islam (IS).

Yang Dipertuanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, topik perbualan dan perbahasan golongan muda di laman sosial perlu dipantau kerana dapat menarik mereka menyertai kumpulan itu.

Katanya, hasil pemantauan, didapati golongan muda berpendapat dengan menyertai kumpulan itu, mereka dapat berjihad menentang musuh Islam.

“Ada berpendapat dengan menyertai kumpulan itu, mereka dapat berjuang menentang negara yang menindas penduduk Islam walhal generasi muda tidak memahami bahawa cara dan kaedah berkenaan adalah salah.

“Oleh itu, YADIM bersungguh-sungguh memantau komentar di Facebook untuk mengelakkan pembabitan golongan ini ke dalam kumpulan ekstremis,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Jejak Menara Kelantan di Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini, semalam.

Program berkenaan yang memberi pendedahan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia kepada dunia kehidupan menara gading itu dihadiri seramai 2,000 peserta.

Asyraf berkata, untuk mengelakkan lebih ramai golongan muda menyertai kumpulan itu, pihaknya menganjurkan pelbagai program dakwah.

Beliau berkata, sistem pendidikan Islam di negara ini terutama di sekolah perlu ditambah baik untuk menangani pembabitan golongan muda dalam kumpulan IS.

Disiarkan pada: March 1, 2015 @ 5:22am
d