mutakhir

Ditemui terapung

Sungai Petani: Mayat seorang lelaki lingkungan 30-an dipercayai penagih dan pengedar dadah yang terjun ke dalam Sungai Muda dekat Kampung Kuala Sapi, Sidam Kiri, di sini, ditemui sepasukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, pagi semalam.

Ketua BBP Tikam Batu Penolong Penguasa Bomba Mohd Razmi Abd Rashid berkata, mayat mangsa ditemui terapung pada jam 9.05 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilihat terjun pagi kelmarin.

Katanya, ketika ditemui, mayat mangsa hanya berseluar dalam dan ditemui terapung dalam keadaan terlentang oleh PPDA yang menjalankan operasi pencarian sejak awal pagi semalam.

“Pemeriksaan lanjut tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri mangsa dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Hamid (HSAH) untuk bedah siasat.

“Berikutan penemuan itu, pasukan kami menamatkan operasi mencari dan menyelamat yang dimulakan sejak semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Disiarkan pada: March 1, 2015 @ 5:26am
d