mutakhir

Sekolah dipercayai dibakar

Nibong Tebal: Polis tidak menolak kemungkinan kebakaran membabitkan sebuah bilik stor bangunan lama, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Batu Kawan di sini, jam 8 malam kelmarin dipercayai berpunca perbuatan khianat.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan (SPS) Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, hasil siasatan awal di tempat kejadian terdapat kesan api yang menjurus kebakaran itu dilakukan seseorang.

“Kami percaya kebakaran yang berlaku ini adalah akibat perbuatan khianat hasil pemeriksaan dan kesan yang ditemui ketika melakukan pemeriksaan di tempat kejadian.

“Bagaimanapun, perkara ini masih tidak dapat dipastikan sepenuhnya dan kami sedang berusaha mengesan suspek yang terbabit dalam kes ini bagi merungkai apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Wan Hassan berkata, kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat menggunakan api.

Dalam kejadian itu, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri menerima panggilan memaklumkan berhubung kebakaran berkenaan daripada orang awam.

Jurucakap bomba berkata, susulan maklumat itu enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba Sungai Bakap bergegas ke lokasi kebakaran yang dilaporkan.

“Ketika tiba di lokasi kejadian kami mendapati bangunan berkenaan dalam keadaan terbakar namun tidak serius, usaha kemudian dilakukan bagi mengawal api daripada terus merebak ke bahagian lain.

“Kami tidak berhadapan sebarang masalah ketika melakukan kerja pemadaman da api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 24 minit,” katanya.

Menurutnya, siasatan sedang dijalankan untuk mengesan punca sebenar kebakaran serta jumlah kerugian yang dialami akibat kebakaran berkenaan.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 7:47am
d