mutakhir

Divisyen baru kawal ESSCOM, ESSZONE

Port Dickson: Tentera Darat mewujudkan satu divisyen operasi baharu di Lahad Datu, Sabah bagi mengatasi masalah di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, usaha meningkatkan pasukan petugas khas 450 itu giat dijalankan.

Katanya, batalion infantri mekanis dilengkapi kenderaan perisai 8x8 Gempita, juga ditempatkan sebagai langkah utama berjaga-jaga.

“Kami turut bercadang menambah jumlah batalion di sana dan yakin divisyen ini menjadi setaraf divisyen lain sedia ada,” katanya pada sidang media selepas Perbarisan serta Perutusan Hari Tentera Darat 2015 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi, Panglima Wilayah Timur Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar dan Panglima Latihan Tentera Darat Mejar Jeneral Datuk Suhaimi Mohd Zuki.

Pada majlis itu, beliau turut memeriksa perbarisan terdiri daripada 18 detesmen dari semua Kor Tentera Darat termasuk Trup Gerak Khas dan anggota Briged PARA membabitkan 157 Pegawai dan 3,460 anggota serta menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada 15 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) dan Sijil Ketua Perkhidmatan kepada 14 anggota LLP serta dua kakitangan awam.

Affandi berkata, Tentera Darat merancang untuk menambah aset dan kelengkapan ketenteraan terkini, sesuai dengan perkembangan semasa.

Beliau yakin, pertambahan lebih banyak aset yang mengikut perkembangan teknologi terkini itu mampu meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:13am
d