mutakhir

'Saya ingin kahwin'

Tapah: “Saya ingin berkahwin dalam masa terdekat ini,” itu hasrat terakhir diluahkan Ahmad Shamimi Aliash, 25, kepada ibunya Hasnah Din, 58, sebelum kejadian kemalangan yang meragut nyawanya serta rakannya, kelmarin.

Dalam kejadian kemalangan jam 9 malam di Kilometer 319.4, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, Shamimi dan sahabat baiknya Marwan Zurin Zulkifli, 22, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, motosikal Honda EX5 ditunggang Marwan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas menyebabkan kedua-dua mereka tercampak ke tengah jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan dari arah belakang.

Hasnah berkata, dia sedih mengenangkan hasrat anaknya itu yang begitu teruja ketika memberitahu ingin menamatkan zaman bujangnya dalam masa terdekat ini namun dia tetap redha dengan ketentuan Allah.

Ketua Polis Daerah Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, kenderaan yang melanggar kedua-dua mangsa itu dipercayai melarikan diri dan polis kini sedang menjalankan siasatan bagi menjejaki kenderaan terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati kenderaan terbabit gagal mengelak kedua-dua mangsa yang secara tiba-tiba terjatuh di atas jalan raya selepas motosikal ditunggangi mereka terbabas.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:24am
d