mutakhir

Rumah musnah nenek lupa tutup api dapur gas

Parit Buntar: Seorang nenek terpaksa tinggal sehelai sepinggang selepas rumahnya di Kampung Parit Mat Ali Tengah, Kuala Kurau, musnah dalam kebakaran dipercayai berpunca daripada kecuaiannya menutup api dapur gas selepas memasak.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi semalam, mangsa Umi Khalthum Basir, 73, sedang menghidangkan kepada cucunya cucur yang baru digoreng sebelum api secara tiba-tiba marak.

Cucu mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, neneknya membawa cucur yang baru digoreng ke halaman rumah dan langsung tidak menyedari api dapur gas tidak ditutup.

“Tiba-tiba kami mendengar bunyi letupan dari bahagian belakang rumah dan apabila diperiksa saya mendapati bahagian dapur rumah sudah terbakar sebelum terus memberitahu nenek kejadian itu.

“Nenek baru tersedar yang dia tidak menutup api dapur gas dan ketika itu api sudah mula marak membakar keseluruhan rumah. Penduduk cuba membantu mengawal kebakaran namun api marak dengan cepat,” katanya yang tinggal berdekatan rumah neneknya itu.

Sementara itu, anak mangsa Zainal Abidin Abas, 44, berkata, dia yang bertugas sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) terkejut diberitahu mengenai kebakaran itu.

Katanya, sebaik tiba, dia mendapati keseluruhan rumah emaknya itu hangus termasuk sebuah motosikal Yamaha SS yang diletakkan di bawah rumah serta 10 benih padi yang baru dibeli.

“Kami belum tahu jumlah kerugian dialami kerana sebuah mesin meracun yang digunakan untuk kerja sawah padi turut musnah dalam kejadian itu namun begitu saya bersyukur kerana ibu saya selamat,” katanya.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kualau Kurau Mohd Sharif Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 pagi dan bergegas ke lokasi dengan kekuatan lima anggota dan sebuah jentera.

Katanya, sebaik tiba pihaknya mendapati api sudah membakar hampir keseluruhan rumah sebelum kebakaran berjaya dikawal setengah jam kemudian.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kebakaran manakala nilai kerugian masih belum diketahui.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:28am
d