mutakhir

8,000 beri maklum balas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima lebih 8,000 maklum balas daripada pelbagai pihak berhubung rangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM (PT) 2015-2025 sejak awal bulan ini sehingga semalam.

Maklum balas yang disifatkan amat membina itu diterima ketika sesi pendengaran awam di enam universiti seluruh negara serta yang disampaikan menerusi dalam talian oleh pelajar, pensyarah serta pihak industri dan ahli akademik.

Timbalan Menteri Pendidikan II P Kamalanathan berkata, maklum balas serta cadangan itu menunjukkan pembabitan rakyat membantu kerajaan dalam sektor pendidikan amat ketara dan mereka prihatin serta mahu terbabit dalam transformasi berkenaan.

“Kita menerima maklum balas daripada pelbagai pihak yang boleh disifatkan amat konstruktif kerana cadangan penyelesaian bagi sesuatu masalah itu turut disertakan. Sesetengah pihak hanya menyuarakan masalah tanpa memberi cadangan penyelesaian.

“Majoriti maklum balas itu sudah dijangka dan cadangan bernas yang diberikan mereka boleh memastikan pelan ini mencapai matlamat dan memberi kesan kepada kumpulan sasar,” katanya pada sidang media selepas majlis Sesi Pendengaran Awam PPPM (PT) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Setiausaha II KPM, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor Md Jais Sarday dan Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Dr Wahid Omar.

Kamalanathan berkata, menerusi pelan berkenaan, 10 lonjakan digariskan bagi memastikan hala tuju pendidikan tinggi negara berada di landasan terbaik.

Menurut beliau, laporan lengkap PPPM (PT) dijangka siap akhir bulan ini sebelum dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan pada 7 April ini.

“Kita sudah membentangkan rangka serta kajian pelan ini di Kabinet dua minggu lalu dan turut menerima maklum balas positif dan produktif daripada beberapa menteri yang turut serta dalam perbincangan,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:45am
d