mutakhir

Mangsa kedua susuli rakan

Kuala Lumpur: Seorang lagi pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang terbabit dalam kemalangan ketika menyelenggara pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, 23 Februari lalu, meninggal dunia, malam kelmarin.

Mangsa, Norizan Abdullah, 59, yang mengalami kecederaan parah akibat letupan di pencawang berkenaan meninggalkan dunia di Hospital Prince Court pada jam 10.50 malam.

Difahamkan jenazah dibawa ke Surau Balai Islam, Ibu Pejabat TNB di Jalan Bangsar untuk disembahyangkan sebelum dihantar ke Kampung Tanah Datar Kota Rembau, Rembau, Negeri Sembilan untuk dikebumikan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Sebelum ini, rakannya, Mohd Ruzairi Razali, 34, meninggal dunia Rabu lalu akibat cedera parah semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Seorang lagi mangsa, Mohd Zaidi Mohd Shariff, 35, yang turut cedera dalam kemalangan terbabit masih dirawat di Hospital Prince Court.

Dalam kejadian jam 10.45 Isnin lalu, ketiga-tiga mangsa difahamkan sedang membaik pulih bekalan elektrik di pencawang berkenaan sebelum insiden berlaku.

Mohd Ruzairi dikatakan melecur hampir 90 peratus seluruh badan manakala Norizan dan Mohd Zaidi turut melecur di muka dan kaki.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:54am
d