mutakhir

Pergi jua...

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Khairul Najib Asarullah Khan

Rembau: “Sejak dimasukkan ke hospital Isnin lalu, seluruh ahli keluarga kami berharap bapa saudara segera sembuh. Namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya,” kata anak saudara kepada kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Norizan Abdullah, 59, mahu dikenali Adam, 35, yang bersedih atas kematian bapa saudaranya itu.

Selepas seminggu bertarung nyawa akibat parah dalam insiden pencawang elektrik di Taman Tan Yew Lai, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur meletup pada 23 Februari lalu, Norizan disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Prince Court, jam 10.52 malam, kelmarin.

Adam yang ditemui di Kampung Tanah Datar, Kota, di sini, berkata dia menerima perkhabaran sedih itu menerusi panggilan telefon daripada ahli keluarganya jam 11.30 malam itu.

“Pada awal kejadian, saya difahamkan pakcik stabil dan berupaya untuk sembuh. Tetapi kami tidak menyangka dia mengalami kecederaan dalam badan akibat letupan itu,” katanya.

Katanya, arwah bapa saudaranya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanah Datar selepas solat Zuhur, semalam.

“Kami sekeluarga bersedih dengan pemergiannya kerana arwah seorang yang ceria malah sangat rapat dengan ahli keluarga dan saudara-mara lain,” katanya.

Sementara itu, nenek saudara Norizan mahu dikenali Saodah, 80, berkata kali terakhir allahyarham pulang ke kampung dua minggu lalu, ketika cuti hujung minggu.

“Sewaktu pulang ke kampung ibunya dua minggu lalu, saya lihat arwah dalam keadaan ceria malah tidak menampakkan sebarang perubahan. Saya tidak sangka dia meninggal dunia disebabkan pencawang elektrik meletup,” katanya.

Saodah berkata, allahyarham meninggalkan seorang balu berusia 54 tahun dan tujuh anak.

Bagaimanapun, usaha wartawan menemubual isteri dan anak mangsa tidak kesampaian apabila mereka enggan ditemuramah kerana masih bersedih dan terkejut.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 8:55am
d