mutakhir

Sistem pertahanan terus ditambah baik

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan meneruskan usaha menambah baik sistem pertahanan negara supaya keselamatan dan ketenteraman serta kedaulatan sempadan negara terus terjamin.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mengajak rakyat Malaysia menghargai pengorbanan perajurit tentera darat sempena Hari Tentera Darat ke-82 semalam.

“Hari ini (semalam) adalah ulang tahun ke-82 angkatan tentera darat Malaysia. Saya mengajak rakyat bersama saya mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka dan keluarga serta mendoakan supaya perajurit angkatan darat terus cekal, tabah dan gagah,” kata beliau dalam catatan Twitternya semalam.

Perbarisan sambutan tahunan itu kali ini diadakan di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), Port Dickson membabitkan 18 detesmen dari semua kor tentera darat termasuk Trup Gerak Khas dan anggota Briged Para seramai 157 pegawai dan 3,460 anggota lain-lain pangkat, diketuai Panglima 3 Divisyen Mejar Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 9:01am
d