mutakhir

Ustaz ke tali gantung

Oleh Norul Awatif Romli

Alor Setar: Seorang ustaz yang juga warden asrama dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar, Saiful Syazani Saiful Sopfidee di asrama Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Arau, Perlis, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab memutuskan hukuman berkenaan terhadap tertuduh, Hanif Muhammad Ali, 31, selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Tertuduh berasal dari Teluk Intan, Perak, yang memakai baju-T putih dan berseluar hitam kelihatan tenang sebaik keputusan itu dibacakan.

Hanif didakwa membunuh Saiful (tujuh tahun ketika itu) di dalam bilik warden Asrama Putera Sekolah Rendah Islam Al-Furqan, Kampung Jejawi, Arau, Perlis, dari jam 6 petang hingga 12 tengah malam pada 31 Mac 2011 lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mohd Zaki ketika membacakan penghakimannya berkata, pihak pembelaan memberitahu Hanif tidak mempunyai niat membunuh adalah bersifat penafian semata-mata.

Katanya, apa yang penting terdapat kesan tekanan atau cekikan pada leher mangsa hingga mengakibatkan oksigen tidak dapat mengalir pada otak mangsa, sekali gus menjadi punca kematiannya.

“Pada hari kejadian, tertuduh memanggil mangsa masuk ke biliknya dan ketika itu mangsa dalam keadaan sihat selain hanya mereka berdua saja di dalam bilik sebelum mangsa diserang penyakit sawan lalu koma dan meninggal dunia.

“Terdapat kesan tekanan pada leher mangsa menyebabkan oksigen tidak dapat sampai ke otak yang menjadi punca kematian mangsa. Keterangan mahkamah mendapati pembelaan tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah kerana perbuatan itu dengan niat mencederakan mangsa,” katanya.

Katanya, selepas diberi pertimbangan dan penelitian mahkamah mendapati pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap mangsa manakala pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan tertuduh mengikut Seksyen 302 KK.

“Mahkamah tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap kesalahan yang dilakukan tertuduh,” katanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Perlis, Badius Zaman Ahmad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shakir Khairi.

Terdahulu, Mohd Shakir dalam rayuan meminta mahkamah menimbangkan semula hukuman kerana tertuduh masih bujang dan mempunyai ibu berusia 60 tahun serta bapa berusia 70 tahun yang uzur.

“Tertuduh anak kedua daripada empat beradik dan aktif dalam aktiviti kemasyarakatan, pembelajaran serta pengajaran al-Quran,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak mempunyai sebarang pilihan kerana seksyen itu memperuntukkan satu hukuman saja iaitu gantung pada leher sehingga mati.

Sebelum ini, pada 7 Mac 2012 lalu, Hanif dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah di mahkamah sama terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304 (a) kanun sama menyebabkan kematian kanak-kanak itu.

Dalam kejadian itu, Saiful Syazani koma selama tiga hari sebelum meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, pada 3 April 2011 dipercayai akibat dipukul warden asrama terbabit ketika menyiasat satu kes kecurian di asrama berkenaan.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 9:12am
d