mutakhir

Neng Yatimah uzur

Kuala Lumpur: Seniwati Neng Yatimah semakin uzur sejak kematian menantunya seniman Mustapha Maarof akhir tahun lalu.

Bintang air mata berusia 91 tahun ini turut mengalami masalah jantung dan kanser kolon.

Beliau atau nama sebenarnya Buntat Ahmad kini dijaga cucu saudaranya Isa Sawi di Singapura.

Menurut cucunya Azlynna Mustapha, selepas disahkan menghidap kanser, neneknya beberapa kali menerima rawatan di hospital namun selepas itu beliau enggan meneruskan rawatan susulan.

“Nenek kata dia tak nak (rasa) sakit setelah diberi rawatan susulan. Dia ada beritahu untuk menghembuskan nafas terakhirnya di Singapura seperti Allahyarham suaminya Jasni Ahmad yang dikebumikan di Singapura,” katanya kepada Bernama.

Menurut Azlynna, walaupun keluarganya sudah beberapa kali meminta Mak Neng (panggilan dalam keluarganya) menetap di Malaysia, namun beliau menolak atas alasan ingin menghabiskan sisa hidupnya di Singapura.

“Mak Neng kini sudah berusia 91 tahun dan semakin uzur, keluarganya cuma mahukan dia menikmati hidupnya dengan baik,” katanya.

Azlynna berkata, ketika bapanya (Datuk Mustapha Maarof) meninggal dunia, Mak Neng amat tertekan sehingga menjejaskan kesihatannya.

“Selepas kematian anaknya Allahyarham Roseyatimah, hubungan Mak Neng dengan menantunya (Mustapha Maarof) amat rapat. Setiap kali bulan puasa, arwah akan mengirimkan duit ke Singapura untuk ibu mentuanya itu,” katanya.

Roseyatimah meninggal pada 1987.

Neng Yatimah adalah pelakon hebat filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal menerusi filem seperti Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing, Racun Dunia dan Mama oh Mama.
– BERNAMA

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 9:25am
d