mutakhir

Hanis Zalikha berhijab demi ibu bapa

Kuala Lumpur: “Sebelum saya jadi isteri orang tahun ini, biarlah saya gembirakan ibu bapa dulu dengan menutup aurat,” kata Hanis Zalikha mengenai keputusannya berhijab bermula semalam.

Hanis atau nama sebenarnya Hanis Zalikha Zainal Rashid, 25, berkata, penghijrahan itu adalah hasrat yang sudah beberapa bulan dipertimbangkan demi mendapat keredaan Allah dan orang tuanya sebelum mengahwini pelakon Hairul Azreen Idris.

“Sebenarnya tak berapa seronok nak cakap banyak mengenai penghijrahan ini sebab saya buat atas tuntutan agama. Saya tak nak ulas banyak sangat pun cuma apa yang boleh saya katakan ini (berhijab) adalah doa dan galakan ibu bapa saya.

“Mereka selalu suarakan hasrat untuk melihat saya bertudung. Pernah juga saya cuba-cuba belajar dengan bertudung bila keluar dengan mereka cuma saya tak ambil gambar dan berkongsi kepada umum.

“Hari ini (semalam) saya rasa ia adalah masa yang tepat selepas semua komitmen seni saya selesai, jadi saya nak mulakan yang baru,” katanya.

Pengacara Raikan Cinta itu semalam berkongsi gambar terbarunya mengenakan tudung menerusi akaun Instagram milik Hairul.

Ia disambut baik pengikut bekas penulis blog itu yang secara amnya mengucapkan tahniah dan gembira dengan perubahan itu.

Menurut Hanis, dia sudah lama mempertimbangkan perubahan itu namun tidak mahu bercerita sehingga bersedia sepenuhnya.

“Saya masih diri saya seperti dulu. Cuma sekarang mulai bertudung untuk menyempurnakan kewajipan menutup aurat. Lain-lain aspek itu saya akan belajar sedikit demi sedikit,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi Hairul, Hanis berkata, aktor itu sudah lama mengetahui perancangan itu dan menggalakkan keputusan itu.

“Dia memang sudah tahu sebenarnya. Sebelum ini pun, apabila kami keluar ada ketika saya bertudung dan dia galakkannya.

“Sekarang bila sudah rasmi, tentulah dia sangat gembira dan menyokong sepenuhnya,” katanya.

Disiarkan pada: March 2, 2015 @ 9:26am
d