mutakhir

Lindungi penyeludup

Oleh Asmah Rusman

Kuala Lumpur: Tiga belas anggota polis termasuk seorang bekas komander Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) yang pernah memegang jawatan Asisten Superintendan (ASP) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam Operasi Licin 2, pagi semalam.

SPRM dalam kenyataannya berkata, individu ditahan di Kedah dan Perak itu berusia antara 20-an hingga 60-an serta disyaki melindungi aktiviti penjualan dan penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran.

Kenyataan itu menyebut semua suspek ditahan adalah penguat kuasa yang pernah bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di pintu masuk sempadan utara tanah air.

Katanya, lima daripada suspek itu adalah anggota UPP, lapan adalah anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Perak dan Bukit Kayu Hitam, Kedah, selain pesara UPP dan orang awam.

“Mereka yang masih bertugas membabitkan seorang berpangkat ASP, dua Inspektor, lapan koperal dan dua konstabel.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai menerima suapan antara RM50 sehingga RM4,000 daripada pengusaha stor petrol dan diesel tidak berlesen di sekitar Durian Burung, Kedah,” katanya.

Katanya, orang awam yang disyaki bersubahat itu ditahan di Ipoh, Perak manakala bekas komander UPP ditahan di rumahnya di Alor Setar, Kedah.

Operasi dan tangkapan itu disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdul selepas mendapati ada antara pegawai terbabit dikesan menerima wang sogokan secara bulanan untuk melindungi individu yang mendalangi aktiviti penyeludupan dari tindakan undang-undang.

“Ia adalah sebagai habuan supaya pelanggan mereka dalam kalangan rakyat negara jiran tidak ditahan dan bebas untuk keluar masuk melalui pintu sempadan.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 16(A(B) Akta SPRM 2009, membabitkan kesalahan meminta suapan oleh penjawat awam,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pegawai dan anggotanya yang didapati melakukan kesalahan itu perlu menanggung akibat dan kesan daripada perbuatan mereka.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Disiarkan pada: March 3, 2015 @ 8:04am
d