mutakhir

Bukan omongan kosong

Oleh Amran Yahya

Kuala Pilah: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menumpukan kepada kedai menjual makanan dalam Kempen Penurunan Harga Barang yang bermula kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, pengusaha kedai makanan dan minuman dilihat terus mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat ganda walaupun ketika harga minyak turun.

“Didapati ada segelintir pengusaha tetap menjual produk pada harga tinggi walaupun ketika harga minyak turun.

“Oleh itu, kempen ini dilaksanakan dari semasa ke semasa supaya pengusaha tahu kempen ini bukan sekadar omongan kosong.

“Malah, KPDNKK memberi peringatan kepada pengusaha supaya bersikap lebih adil kepada pengguna,” katanya pada majlis Penyerahan Bantuan Khas Mangsa Banjir Parlimen Kuala Pilah di Dewan Datuk Bahaman, semalam.

Hasan berkata, beliau berharap peniaga lain juga boleh mengambil inisiatif menganjurkan kempen sama bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat menikmati faedah penurunan harga barang.

“Kempen ini membabitkan lebih 1,000 cawangan pasar raya di seluruh negara, dengan lebih 82,000 produk keperluan harian seperti makanan dan pakaian ditawarkan dengan diskaun antara 10 ke 70 peratus.

“Tempoh kempen berbeza mengikut pasar raya dan berdasarkan kemampuan mereka serta sambutan pengguna.

“Apa yang paling penting adalah walaupun harga barang turun, tetapi kualiti produk perlu dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, beliau menggalakkan kerjasama masyarakat mengesan pengusaha yang menaikkan harga barang ketika harga minyak meningkat dan melaporkan terus ke KPDNKK.

Pada majlis itu, 227 isi rumah menerima bantuan kewangan RM500 sumbangan dari Parlimen Kuala Pilah.

Disiarkan pada: March 3, 2015 @ 8:16am
d