mutakhir

Penculik minta upah lebih

Georgetown: Kerana berebutkan kontrak kerja pembersihan, seorang lelaki warga Bangladesh yang tidak berpuas hati dengan rakan senegaranya mengupah lima lelaki tempatan untuk ‘menculik’ mangsa dalam kejadian di Jalan Kebun Bunga, di sini, kelmarin.

Namun, drama penculikan bermula jam 6 petang itu bertukar menjadi kelam-kabut apabila suspek yang diupah meminta wang RM10,000 sebagai bayaran sekiranya mahu mangsa dibunuh.

Bagaimanapun, lelaki warga Bangladesh itu kemudian berubah fikiran dan tidak mahu mangsa dibunuh serta hanya membayar upah berjumlah RM2,000 kepada lima suspek terbabit kerana melarikan mangsa.

Tindakannya itu menyebabkan lima suspek tidak berpuas hati dan mereka mengugut mangsa supaya menghubungi abangnya dan meminta wang berjumlah RM5,000.

Mangsa yang berusia 37 tahun itu mengikut arahan lima suspek terbabit dan menghubungi abangnya meminta wang, namun abang mangsa tidak dapat memasukkan wang berkenaan kerana tidak mempunyai akaun bank.

Berikutan itu, mangsa dilepaskan supaya pulang ke rumah untuk mengambil wang sebelum abangnya membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, susulan laporan itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh yang dipercayai boleh membantu siasatan kes.

“Setakat ini, kami percaya kedua-dua lelaki Bangladesh berusia 27 dan 30 tahun yang ditahan di Taman Desa Permai Indah, Sungai Dua, di sini, turut bersekongkol dengan semua suspek berkenaan.

“Namun, kami masih menjejaki suspek utama iaitu lelaki warga Bangladesh yang bertindak sebagai dalang selain lima lelaki tempatan yang melarikan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis menemui wang RM2,000 daripada kedua-dua lelaki ditahan itu.

“Siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada perselisihan faham kerana berebutkan kontrak kerja pembersihan,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2015 @ 8:24am
d