mutakhir

Geng samun umpan ke ranjang

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Sekumpulan sindiket peras ugut dikesan menggunakan khidmat gadis remaja bagi menggoda lelaki kaya serta menawarkan diri melakukan hubungan seks.

Mangsa yang dipujuk berasmara di hotel sebaliknya ditawan ahli kumpulan terbabit sebelum dipaksa membayar wang jika mahu dibebaskan.

Difahamkan sindiket didalangi lima individu termasuk dua anggota pasukan keselamatan itu turut memukul dan menyamun mangsa di bilik hotel.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, empat suspek berusia 30 hingga 40 tahun berjaya ditahan polis Sabtu lalu susulan laporan dibuat seorang mangsa lelaki pada 19 Februari lalu.

“Dalam kejadian jam 3 pagi itu, mangsa berusia 20-an itu mendakwa bertemu dengan remaja perempuan berusia 17 tahun di pusat hiburan di Jalan Ipoh.

“Gadis remaja itu yang beraksi manja kemudian memberitahu jatuh hati pada mangsa dan mengajak mangsa berasmara di bilik hotel,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, semalam.

Menurutnya, mangsa tergoda sebelum bersetuju dan membawa suspek ke sebuah hotel di Kepong Baru di sini, jam 6 pagi.

“Bagaimanapun dua lagi ahli sindiket itu menyerbu bilik hotel berkenaan dengan menyamar sebagai anggota polis. Suspek turut mendakwa sebagai abang kandung kepada remaja perempuan itu.

“Mereka kemudian membelasah mangsa sebelum meminta mangsa membayar wang sebanyak RM2,000 bagi menyelesaikan kes itu,” katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun hanya membawa wang sebanyak RM150 di dalam dompetnya.

“Selang beberapa minit kemudian, dua lagi suspek muncul di bilik hotel berkenaan dan membelasah mangsa serta merampas kunci kereta mangsa.

“Suspek dikatakan melarikan kenderaan model BMW milik mangsa. Susulan itu mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya.

Susulan itu, polis segera melakukan siasatan sebelum menahan tiga suspek di sebuah rumah di kawasan Jinjang di sini.

“Turut ditahan termasuk remaja perempuan terbabit yang juga teman wanita kepada salah seorang suspek.

“Semua suspek kini ditahan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun secara berkumpulan.

“Kumpulan ini akan menggertak mangsa dengan mendakwa mangsa cuba melakukan perbuatan terkutuk dengan isteri atau adik mereka,” tegasnya lagi.

Disiarkan pada: March 3, 2015 @ 8:36am
d