mutakhir

Nahas pertama kali naik bas

Kuala Lipis: “Saya dengar ada penumpang menjerit meminta tolong dan meraung,” kata Adli Abas, 30, seorang penumpang bas ekspres Malaysia-Thai yang terselamat apabila kenderaan membawa 30 penumpang itu bertembung kereta Naza Forte sebelum terbabas di Kilometer 35, Jalan Lipis-Merapoh, di sini, awal pagi semalam.

Katanya, sebelum kejadian, dia yang duduk di kerusi belakang tertidur, namun tersentak apabila terdengar dentuman kuat.

Menurutnya, selepas terdengar dentuman itu, bas terbabas ke tepi jalan sebelum dia terdengar penumpang meminta tolong.

“Saya panik dan tidak mampu membantu kerana mangsa masing-masing cedera.

“Ini kali pertama saya naik bas dan berlaku kemalangan, namun bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kematian,” katanya yang berasal dari Kelantan.

Dalam kejadian jam 1.20 pagi itu, lima penumpang cedera manakala 25 lagi tidak cedera.

Mangsa yang cedera, Ramiza Murni Razali, 23, berasal dari Gua Musang, Kelantan,patah kaki kiri, Keau Chau Week, 38, cedera di badan, Noor Idayu Rosli, 26, cedera di kepala, Suhaila Malee, 30, warganegara Thailand cedera di kepala dan Nor Nadia Rosli, 26, turut cedera di kepala.

Ketua Polis Daerah Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pemandu kereta, Abdul Halim Abd Ghani, 54, dari Besut, Terengganu, cedera di muka, perut dan dada

“Semua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lipis (HKL), di sini, untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian bas berkenaan dalam perjalanan menghala ke Kelantan dari Seremban, Negeri Sembilan.

“Pemandu bas itu, Rohmadi Md Jail, 40, dari Pasir Mas, Kelantan, dipercayai gagal mengawal kenderaan dipandunya sebelum terbabas dan bertembung kereta dari arah bertentangan,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat Kuala Lipis sebelum dikejarkan ke HKL.

Katanya, polis akan bertemu pemandu bas itu untuk menjalani ujian air kencing bagi memastikan sama ada lelaki terbabit memandu di bawah pengaruh dadah atau sebaliknya.

Disiarkan pada: March 3, 2015 @ 9:39am
d