mutakhir

Didik pelajar amal pemakanan sihat

Putrajaya: Program Cara Hidup Sihat (PCHS) yang dilaksanakan di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) sejak 2012 berjaya mendidik pelajar mengenai pemakanan sihat selaras dengan usaha mengurangkan kadar obesiti dalam kalangan kanak-kanak.

Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan berkata, program itu menitikberatkan soal pengambilan makanan sihat, kesihatan dan kesejahteraan yang secara tidak langsung menggalakkan kanak-kanak di Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat.

“Program ini dilihat dapat menyumbang kepada penurunan kadar obesiti dalam kalangan pelajar kerana melalui program ini pengetahuan, sikap dan amalan gaya hidup sihat mereka meningkat secara drastik,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan sijil kepada peserta PCHS di sini semalam.

Turut hadir, Pengarah Urusan Nestle Malaysia Alois Hofbauer dan Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Mohamed Yamin Mohamed Yusof.

PCHS adalah program selama tiga tahun yang dianjurkan sejak tahun 2012 dan sehingga kini kira-kira 10,000 pelajar di SBP sudah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Kamalanathan berkata, program itu pada mulanya tertumpu pada SBP sahaja kerana mereka hanya menikmati hidangan yang disediakan di asrama berbanding sekolah harian biasa.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 7:28am
d