mutakhir

Masuk campur jika rundingan gagal

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan masuk campur sekiranya Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Badan Pengutip Royalti Hak Pelaku dan Persembahan Artis (Prism Berhad) gagal mencapai kata sepakat berhubung kutipan royalti artis.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, kedua-dua sudah diberi ruang berunding bagi menyelesaikan pertikaian dan mereka juga boleh membuat aduan kepada Tribunal Hak Cipta Pengguna.

“Jika gagal, kementerian akan masuk campur dan mereka terpaksa patuh dengan keputusan yang kami buat.

“Kementerian akan buat dasar baru dan ia perlu dipatuhi kerana kami mahu industri karyawan dan sebagainya berada dalam keadaan cukup harmoni,” katanya.

Beliau turut menjangkakan perkara itu mampu diselesaikan dalam masa terdekat.

Menurut Hasan, pihaknya sudah menghubungi pihak berwajib dan syarikat yang dipersetujui untuk diberikan hak mengutip bayaran royalti.

Bagaimanapun, terdapat masalah teknikal yang belum dapat diselesaikan yang memerlukan perbincangan lanjut.

“Saya sendiri sudah minta wakil ahli Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pergi ke negara lain melihat bagaimana mereka berjaya melaksanakan soal royalti ini.

“Mereka baru saja balik dari Jepun dan bila sudah selesai beberapa masalah teknikal, soal royalti ini kita dapat selesaikan,” katanya.

Tambah beliau, KPDNKK setakat ini hanya memberi hak mengutip bayaran royalti kepada empat syarikat iaitu RPM, Prism, Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM) dan tidak bercadang untuk menambah badan pengutip cukai.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:21am
d