mutakhir

'Saya kurang sihat'

Kuala Lumpur: “Maaf saya tak berapa sihat sekarang. Masih dalam rawatan (akibat) jangkitan paru-paru. Insya-Allah nanti sembuh sikit saya hubungi semula,” kata penyanyi veteran Datuk Dahlan Zainuddin dalam SMS kepada Harian Metro mengenai masalah jangkitan kuman pada paru-parunya, baru-baru ini.

Dahlan, 74, berkata, dia belum bersedia untuk ditemu ramah ketika ini bagi membolehkan dirinya berehat sepenuhnya mengikut nasihat doktor.

Isterinya, penyanyi era 70-an, Datin Effa Rizan, 53, berkata, jangkitan pada paru-paru Dahlan adalah kejadian kali kedua yang dialami penyanyi lagu Kisah Seorang Biduan itu.

“Sebenarnya 12 tahun lalu abang pernah kena (jangkitan paru-paru) dan selepas dirawat abang okey. Tapi nampaknya berulang semula sejak dua minggu lalu.

“Apa yang saya boleh katakan buat masa ini memang abang tak digalakkan untuk bercerita banyak sebab doktor suruh dia berehat,” katanya.

Dahlan atau nama sebenarnya Dahlan Zainuddin dimasukkan ke wad hospital berkenaan, Jumaat lalu selepas dua minggu mengadu kurang sihat.

Bagaimanapun, susulan rawatan segera, Effa berkata, kesihatan suaminya kini dalam keadaan stabil.

“Dia mula mengadu tidak sihat dan kurang selesa sejak dua minggu lalu tapi apabila makin serius kami terpaksa bawa ke hospital Jumaat lepas.

“Saya tengok keadaan dia okey sekarang. Sakit-sakit biasa saja, insya-Allah nanti okey semula selepas rawatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:34am
d