mutakhir

Kejayaan atlet remaja petanda positif

Putrajaya: Imej sukan negara berjaya diangkat ke tahap lebih tinggi menerusi kejayaan demi kejayaan dicapai atlet remaja di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia dalam beberapa kejohanan berprestij di peringkat antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kejayaan diperolehi atlet berkenaan memberi petanda sihat dan positif dalam memenuhi anjakan ke-11 transformasi sistem pendidikan negara iaitu menyediakan masyarakat Malaysia berpersonaliti unggul yang mengamalkan nilai semangat juang dan patriotik yang tinggi.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, program sukan dibangunkan Kementerian Pendidikan di peringkat akar umbi juga membuktikan ia mampu menghasilkan atlet murid cemerlang.

“Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) menerusi Bahagian Sukan diberi tanggungjawab besar untuk membangunkan sukan di peringkat sekolah sehingga dapat melahirkan atlet murid berwibawa.

“Ia juga usaha mencapai hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang amat menekankan rakyat yang menghayati nilai murni dan mengharungi segala cabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-Milo 2014 di sini, semalam.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:39am
d