mutakhir

119,933 rumah PR1MA dilulus

Kuala Lumpur: Sebanyak 119,933 unit rumah di bawah Projek Rumah 1Malaysia (PR1MA) telah diluluskan pembangunannya setakat ini membabitkan sejumlah 80 projek di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia Datuk Abdul Mutalib Alias berkata daripada jumlah itu sebanyak 40,000 unit rumah sedang dibina, sementara selebihnya akan bermula dalam bila-bila masa.

“Semua 80 projek ini telah pun diluluskan oleh Anggota Perbadanan PR1MA di mana lokasi pembinaan telah dikenal pasti dan reka bentuk rumah juga sudah ditentukan dan pengumuman setiap projek dibuat dari semasa ke semasa.

“Jumlah itu juga termasuk tujuh projek membabitkan 7,116 unit rumah yang baharu sahaja ditutup permohonannya baru-baru ini,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Wilayah Persekutuan ke-33, di sini hari ini.

Tujuh projek tersebut adalah PR1MA@Alam Damai, Kuala Lumpur; PR1MA@Bandar Meru Raya, Perak; PR1MA@Kuala Ketil, Kedah; PR1MA@Sungai Petani 1, Kedah; PR1MA@Bandar Layangkasa, Johor; PR1MA@Terbrau, Johor; dan PR1MA@Melaka Tengah 1, Melaka.

Abdul Mutalib berkata, permohonan bagi unit rumah di ketujuh-tujuh projek berkenaan yang bermula pada 15 Januari lalu telah pun ditutup pada Ahad lepas dan proses cabutan undi dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang membuat saringan semua permohonan itu dan mereka yang layak akan dimaklumkan untuk menghadiri majlis cabutan undi.

“Proses cabutan undi ini nanti akan dikawal selia oleh sebuah firma audit yang bertauliah yang kita lantik untuk memastikan ketelusan proses cabutan undi dan saya memberi jaminan ia akan memberi keadilan kepada semua pemohon,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:42am
d