mutakhir

Projek MRT ikut jadual

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak semalam meninjau kerja pembinaan projek Aliran Transit Massa (MRT) Stesen Tun Razak Exchange (TRX) bagi melihat sendiri kemajuan hab pengangkutan awam moden negara yang dijangka siap pada Julai 2017.

Perdana Menteri tiba di kawasan pembinaan yang terletak di Jalan Tun Razak kira-kira 4.40 petang dan disambut Pengerusi MRT Corporation Sdn Bhd yang juga Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Turut kelihatan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Seri Shahril Mokhtar dan Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar.

Sebaik selesai memakai topi, jaket dan kasut keselamatan, Najib kemudian diberi penerangan mengenai kerja pembinaan oleh Pengarah Projek Laluan MRT Corp Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) Marcus Karakashian yang mana projek stesen TRX itu sudah hampir 60 peratus siap.

Perdana Menteri dibawa ke sekitar kerja pembinaan termasuk dari dek tinjauan, platform stesen dan laluan terowong serta dilihat beberapa kali mengangguk serta tersenyum ketika penerangan diberikan sebelum beredar kira-kira jam 5.30 petang.

Ini adalah kunjungan ketiga Najib ke tapak projek MRT dan sebelum ini beliau pernah melawat Stesen Cochrane sebanyak dua kali tahun lalu.

TRX adalah stesen terbesar antara tujuh stesen bawah tanah yang akan menjadi penyambung kepada laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya yang merupakan laluan kedua MRT.

Laluan pertama MRT, Sungai Buloh-Kajang sejauh 51 kilometer terdiri daripada 31 stesen dan menyediakan perkhidmatan kepada 1.2 juta orang sepanjang laluan itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Projek Terowong Satpal S Bhogal berkata kerja bawah tanah keseluruhannya berada pada kadar 75 peratus dengan kerja terowong setakat Januari adalah 95 peratus.

Katanya kerja berkenaan bagi keseluruhan laluan SBK dijangka selesai menjelang minggu pertama bulan depan.

Menurut Satpal, kerja stesen juga berjalan lancar di semua tujuh stesen bawah tanah MRT dengan di Stesen Maluri siap 63 peratus diikuti 62 peratus di Stesen Muzium Negara, Stesen Pasar Seni (61 peratus), Stesen Merdeka (56 peratus), Stesen TRX (58 peratus) dan Bukit Bintang (48 peratus).

“Dengan pencapaian setakat ini dan pelaburan besar dalam tenaga manusia dan jentera untuk kerja terowong, kami yakin bahawa kami akan mengikut jadual bagi pembukaan fasa kedua laluan SBK pada Julai 2017 dan kini kami mampu menghimpunkan satu pasukan pakar tempatan bagi kerja terowong,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:45am
d