mutakhir

Pelajar terjun tingkat 10

Kuala Lumpur: Kecewa ditinggalkan teman wanita dipercayai menjadi punca seorang pelajar lelaki tingkatan lima nekad terjun dari tingkat 10 sebuah sekolah di Jalan Kuchai di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, tindakan mangsa berusia 16 tahun itu memeranjatkan rakan sekelas dan guru sekolah berkenaan.

Sumber berkata, mangsa sempat meminta kebenaran daripada guru yang mengajar di kelasnya untuk ke tandas.

Menurutnya, rakan sekelas mangsa bagaimanapun pelik apabila mangsa tidak pulang ke kelas lebih 10 minit.

“Malah, mereka menemui nota ditinggalkan mangsa mengandungi ucapan selamat tinggal kepada rakan dan keluarganya.

“Beberapa pelajar sesi petang yang menunggu waktu kelas bermula melihat mangsa terjatuh di blok A dan memaklumkan kepada guru,” katanya.

Dia berkata, seorang guru bergegas ke tempat kejadian dan melihat mangsa tertiarap dan berdarah di hidung.

Menurutnya, guru terbabit meminta kakitangan sekolah menghubungi ambulans serta memaklumkan ibu bapa mangsa.

“Kakitangan perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang tiba di tempat kejadian mengesahkan mangsa meninggal dunia,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:47am
d