mutakhir

Elak pekerja melintas

Kuala Selangor: “Saya difahamkan mereka (pemandu kenderaan) cuba mengelak daripada merempuh kumpulan warga asing yang melintas jalan itu sebelum sebuah kereta tidak dapat mengelak lalu merempuh seorang daripada mereka,” kata rakan mangsa kemalangan maut di Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran kawasan pembinaan Hillpark di sini, Zamree Abdul Ghani, 41.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu seorang lelaki warga Indonesia maut selepas parah di kepala dan beberapa bahagian badan akibat dirempuh kenderaan.

Tiga kenderaan terbabit dalam kejadian itu dengan lima daripadanya cedera dan dua tidak mengalami sebarang kecederaan.

Zamree yang juga rakan kepada seorang daripada pemandu kenderaan itu berkata, ketika kejadian keadaan masih gelap dan pada masa sama kumpulan pekerja tapak binaan warga asing mahu melintas jalan.

Katanya, dalam keadaan gelap, jalan berbukit, curam serta berhampiran selekoh pemandu kenderaan cuba mengelak merempuh kumpulan lelaki itu sehingga berlaku pertembungan dengan kenderaan dari arah bertentangan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pengguna jalan raya jam 6.40 pagi sebelum pasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dikejarkan ke tempat kejadian.

“Ketika tiba di tempat kejadian seorang warga Indonesia meninggal dunia,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 9:49am
d