mutakhir

Persekitaran bukan halangan

Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: Walaupun bersekolah di persekitaran bukan menggunakan bahasa ibunda sendiri sebagai bahasa pengantara, tetapi ia tidak menghalang Muhammad Daniel Idrus, 18, memperoleh keputusan cemerlang 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan semalam.

Keputusan dicapai Muhammad Daniel dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cina Melaka itu menjadikan dia antara pelajar cemerlang di seluruh negeri.

Menurut Muhammad Daniel yang mempunyai latar pendidikan di sekolah Cina sejak di sekolah rendah lagi, dia tidak mempunyai masalah bergaul dan belajar menggunakan bahasa Mandarin.

“Rakan dan guru di sekolah sentiasa membantu, malah guru akan menggunakan dwibahasa iaitu Melayu dan Mandarin untuk memudahkan saya memahami setiap mata pelajaran diajar.

“Saya berterima kasih kepada mereka dan keluarga yang sentiasa membantu sehingga berjaya dan gembira akhirnya segala usaha dilakukan membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui di Rumah Media Melaka, di sini, semalam.

Menurutnya, dalam keadaan ekonomi dan persekitaran di Malaysia kini, menguasai bahasa ketiga satu kelebihan untuk menempuh alam pekerjaan nanti.

“Bapa saya (Idrus Md Zin, 42) dan ibu (Suhani Maarof, 42) sentiasa memikirkan yang terbaik dan ini memberi kelebihan kepada saya. Bukan hanya saya, malah lima adik lain turut mengikut jejak langkah saya apabila bersekolah di sekolah Cina,” katanya.

Mengulas mengenai kejayaannya, Muhammad Daniel berkata, dia tidak mempunyai rahsia istimewa, cuma menumpukan perhatian sepenuhnya di dalam kelas ketika guru mengajar.

“Bagi saya, apa yang penting faham apa diajar guru dan jika faham boleh selesai dan tidak perlu untuk belajar berulang kali,” katanya yang memperoleh keputusan 10A+ 1A dan 1B,” katanya.

Muhammad Daniel berkata, dia berhasrat menyambung pelajaran ke Akademi Laut Malaysia Melaka (ALAM) dalam bidang perkapalan.

“Saya bercita-cita menyambung pelajaran dalam bidang perkapalan,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 10:01am
d