mutakhir

Enggan terus hidup susah

Oleh Mohamad Hussin

Alor Setar: Kegigihan seorang anak kepada mekanik motosikal yang menjadikan kesusahan keluarganya sebagai motivasi akhirnya meraih kejayaan apabila memperoleh keputusan cemerlang 11A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 yang diumumkan, semalam.

Neo Yi Siang, 18, pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), di sini, berkata, dia tidak pernah menjadikan faktor kemiskinan keluarga sebagai penghalang untuk berjaya kerana baginya, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Saya selalu memberi tumpuan dalam kelas dan rajin membuat kerja sekolah yang diberikan. Kebiasaannya sehari sebelum peperiksaan, saya akan berehat supaya tidak tertekan.

“Sebenarnya saya bersaing dengan sepupu lain kerana mereka juga mencapai keputusan cemerlang dalam SPM beberapa tahun lalu. Ia sedikit sebanyak menjadi faktor pembakar semangat untuk saya berjaya.

“Selain itu, kakak saya, Neo Ya Theng, 22, juga antara idola kerana dia berjaya sehingga melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan,” katanya yang ditemui selepas diumumkan antara 11 pelajar terbaik SPM 2014 Kedah di KSAH, di sini, semalam.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, bapanya, Neo Swee Boon, 57, dan ibunya, Goh Poh Yen, 43, yang juga suri rumah tidak pernah merungut dengan kemiskinan mereka, sebaliknya sentiasa membantu untuk memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran.

Swee Boon berkata, dia sentiasa memberi galakan kepada kedua-dua anaknya dalam pelajaran kerana tanpa ilmu, mereka tidak akan berjaya pada masa depan.

“Saya bangga dengan mereka dan terkejut dengan keputusan cemerlang Yi Siang dalam SPM, hari ini (semalam).

“Dia tidak berminat untuk bekerja dengan saya di bengkel ini menyebabkan saya meminta dia belajar bersungguh-sungguh untuk masa depannya sendiri,” katanya.

Sementara itu, Siti A’isyah Mohd A’sri, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, di sini, yang memperoleh keputusan 10A+ berkata, dia selalu mengambil perhatian dalam kelas apabila guru sedang mengajar sekali gus boleh bertanya secara terus sekiranya tidak memahami mengenai sesuatu perkara.

“Saya tidak pernah pergi ke kelas tuisyen sebaliknya lebih selesa belajar sendiri atau secara berkumpulan kerana tidak membebankan dengan latihan yang banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pendidikan Kedah Datin Azuyah Hassan berkata, seramai 484 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 di Kedah berjaya memperoleh keputusan cemerlang (Gred A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran diduduki berbanding 662 calon pada tahun sebelumnya.

Beliau berkata, pencapaian calon SPM luar bandar menunjukkan peningkatan Gred Purata Nasional (GPN) sebanyak 0.18 mata kepada 5.55 mata pada 2014 berbanding 5.73 pada 2013.

“Calon bandar menunjukkan penurunan sebanyak 0.04 mata iaitu 5.15 mata pada 2014 berbanding 5.11 mata pada 2013. Pencapaian calon cemerlang pada 2014 menunjukkan penurunan sebanyak 0.48 peratus iaitu daripada 484 calon memperoleh gred A (Cemerlang) bagi semua mata pelajaran berbanding 622 calon pada 2013.

“Pencapaian keseluruhanan bagi calon SPM 2014 menurun dengan nilai GPN 5.19 mata berbanding 5.04 mata pada 2013 iaitu menurun sebanyak 0.15 mata,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 10:30am
d