mutakhir

Lan Pok Wa, tiga rakan dijejaki

Tanah Merah: Polis mengenal pasti lelaki berusia 30-an dikenali Lan Pok Wa sebagai antara empat suspek terbabit dalam insiden serangan dan lepaskan tembakan kepada sepasang suami isteri di Kampung Alor Bemban, Bukit Kechik, di sini, 25 Februari lalu.

Suspek dipercayai individu bertanggungjawab ke atas serangan itu dan tiga lagi rakannya, Zainal Abidin Jaaffar yang dikenali sebagai Jenal, Mohd Razi Bahar Din atau Roji Barat dan Mohd Azizul Md Salleh atau Bulat masing-masing berusia antara 31 hingga 52 tahun turut diburu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap berkata usaha mengesan suspek termasuk tiga rakannya itu kini giat dijalankan.

“Kami yakin semua suspek lelaki ini masih berada di Kelantan dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, suspek melepaskan tembakan seorang lelaki dan turut bertindak membakar dua motosikal di hadapan rumah mangsa dipercayai berpunca kerana hutang perniagaan dadah.

Bagaimanapun, isteri mangsa berusia 25 tahun yang tidak melarikan diri tidak dicederakan.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 10:49am
d