mutakhir

Pergelangan tangan hampir putus ditetak penyamun

Temerloh: Pergelangan tangan seorang ahli perniagaan hampir putus apabila ditetak seorang penyamun bersenjatakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah kedai ubat di Jalan Haji Kassim, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa seorang lelaki berusia 35 tahun dikejarkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), di sini, sebelum dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Anuar Othman berkata, bapa mangsa berusia 65 tahun turut mengalami kecederaan dan menerima lapan jahitan di kepala selepas ditetak dengan parang.

“Sebelum kejadian, dua penyamun terbabit masuk ke dalam premis mangsa dan berpura-pura hendak membeli minuman sebelum seorang daripada mereka mengeluarkan sebilah parang lalu mengacukan ke muka mangsa sambil meminta menyerahkan wang,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa memberanikan diri apabila bertindak melawan dua penyamun terbabit sebelum seorang daripada suspek menetak pergelangan tangannya.

Katanya, pada masa sama, bapa mangsa yang berada di belakang premis terdengar jeritan anaknya meminta pertolongan sebelum bergegas untuk memberikan bantuan, namun turut ditetak di kepala.

Mohd Anuar berkata, bagaimanapun, dua penyamun terbabit tidak dapat melarikan wang hasil perniagaan mangsa sebaliknya hanya sempat mengambil telefon bimbit sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Siasatan turut mendapati, pada masa sama dua penyamun terbabit turut melakukan jenayah sama tidak sampai setengah jam kemudian apabila menceroboh masuk ke dalam sebuah premis menjual minuman keras, kira-kira 700 meter dari lokasi kejadian pertama,” katanya.

Menurutnya, dua penyamun terbabit tidak mencederakan mangsa di premis berkenaan iaitu seorang lelaki warga asing berusia 30 tahun, kemudian melarikan komputer riba, dua telefon bimbit, enam botol minuman keras dan wang tunai RM1,000.

Disiarkan pada: March 4, 2015 @ 10:51am
d