mutakhir

Tak calon anak Nik Aziz

Kota Bharu: Tiada nama anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disenaraikan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang berlangsung pada 22 Mac ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang memberitahu tiga nama dikemukakan kepada pimpinan pusat adalah calon ulama dan profesional berasal dari kawasan Chempaka.

“Saya boleh sahkan senarai nama calon dihantar kepada PAS pusat dan keputusan rasmi dibuat pada 8 Mac ini.

“Bagaimanapun, anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz tiada dalam senarai itu,” katanya ditemui selepas Mesyuarat EXCO di Kota Darul Naim di sini, semalam.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, keputusan rasmi calon PAS bertanding PRK diumumkan di Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, di sini.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian Nik Abdul Aziz yang meninggal dunia akibat barah prostat 12 Februari lalu di rumahnya di Kampung Pulau Melaka, di sini.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 10 Mac ini sebagai tarikh penamaan calon, manakala pengundian awal pada 18 Mac selain hari pengundian pada 22 Mac.

PRK itu menyaksikan pertembungan PAS dengan calon bebas berikutan Barisan Nasional (BN) yang mengumumkan tidak bertanding kerana mahu memberi tumpuan kepada kerja pemulihan pasca banjir di Kelantan selain sebagai tanda menghormati Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 8:30am
d