mutakhir

Penganjur tolak cadangan polis

Kuala Lumpur: “Kami belum terima permohonan rasmi mengadakan perhimpunan #KitaLawan. Bagaimanapun, polis ambil tindakan jika berlaku kekacauan,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah.

Menurutnya, penganjur #KitaLawan yang membantah tindakan memenjarakan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bercadang mengadakan perhimpunan pada Sabtu ini.

Difahamkan mereka mula berhimpun di tiga tempat iaitu Masjid Jamek, Pasar Seni dan Ibu Pejabat Pas Kuala Lumpur sebelum berarak ke kompleks beli-belah Sogo, Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini.

Zainol berkata, penganjur perlu bertanggungjawab atas sebarang insiden yang berlaku sepanjang perhimpunan itu berlangsung kelak.

“Polis berbincang dengan penganjur perhimpunan itu dan mereka bertegas mahu meneruskan perhimpunan itu.

“Kami mencadangkan mereka berhimpun di kawasan yang tidak mengganggu ketenteraman awam. Bagaimanapun, mereka tetap berdegil dan memilih tempat berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurusan Sogo yang tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di kawasan mereka.

“Tindakan diambil terhadap individu yang cuba mencetuskan sebarang provokasi sepanjang perhimpunan berlangsung.

“Setakat ini polis menerima enam laporan berhubung perhimpunan berkenaan,” katanya.

Terdahulu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Pemuda Sosialis DAP Kebangsaan Teo Kok Seong dilihat muncul di IPD Dang Wangi berjumpa Zainol.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 8:31am
d