mutakhir

Henti operasi projek biak aedes

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Mulai semalam, mana-mana tapak pembinaan yang dikesan menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes akan diarahkan tutup sementara selama dua minggu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, tindakan tegas itu diambil memandangkan masih ada tapak pembinaan yang tidak bebas daripada sarang pembiakan aedes walaupun sudah diarahkan tutup sementara.

“Ketika ini, 71 tapak pembinaan di Lembah Klang sudah diperiksa dan diarah tutup selama tujuh hari, tetapi masih ada masalah serta pihak pemaju tidak memberi perhatian serius.

“Jadi, selepas ini mana-mana tapak pembinaan yang ada tempat pembiakan nyamuk aedes akan diarahkan tutup selama dua minggu, saya percaya arahan ini akan menyebabkan kerugian yang banyak kepada pemaju, lebih murah buat semburan kabut dan bunuh nyamuk,” katanya pada sidang media sebelum menghadiri mesyuarat pascakabinet di kementeriannya di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Hilmi Yahaya, Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Farida Mohd Ali, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman.

Dr Subramaniam berkata, pihak pemaju juga perlu menunjukkan bukti bahawa mereka sudah mengambil tindakan untuk menghapuskan sarang pembiakan nyamuk sebelum dibenarkan dibuka semula.

Menurutnya, kementerian juga tidak teragak-agak untuk meminta pihak pemaju di 71 tapak pembinaan berkenaan dengan mengambil tindakan mahkamah termasuk ditutup sementara selama dua minggu sehingga mereka mengambil tindakan membasmi tempat pembiakan nyamuk di kawasan itu.

Selain itu, beliau berkata, kementerian juga akan membuat pemeriksaan di kilang bagi memastikan nya bebas daripada tempat pembiakan nyamuk.

“Walaupun peratusannya tidak setinggi di tapak pembinaan, tetapi saya ingin mengingatkan supaya pihak kilang mengambil tindakan sewajarnya.

“Ini kerana ramai yang bekerja di kilang. Jika ada tempat pembiakan nyamuk, lokaliti itu mempunyai jumlah indeks nyamuk tinggi risiko untuk terkena wabak denggi,”katanya.

Pada masa sama, Dr Subramaniam juga meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan kuasa mereka untuk membersihkan kawasan terbiar dengan meminta pemiliknya membayar kos berkenaan.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 8:58am
d