mutakhir

Protes baring atas tanah

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Angkara tidak puas hati dengan pemberian tanah, sekumpulan penduduk di Kampung Serampang Indah, membuat kecoh dengan menghalang kakitangan Pejabat Daerah dan Tanah Jempol meletakkan batu sempadan dan kerja penebangan pokok getah tua di kampung itu, semalam.

Kumpulan itu membabitkan 10 keluarga yang tidak mahu menerima tawaran penyelesaian isu tanah ladang getah yang dulunya dikenali Ladang Gatco.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, 30 individu menimbulkan kekecohan termasuk berbaring di atas tanah menyebabkan anggota polis terpaksa dipanggil mententeramkan keadaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Hamran Mohamad berkata, sebahagian besar penduduk menerima tawaran penyelesaian iaitu 291 peneroka asal atau waris dan mendapat 1.6 hektar tanah.

“Selain itu, 106 penduduk yang membeli tanah daripada peneroka asal atau waris pula mendapat 0.8 hektar. Namun, segelintir penduduk tidak bersetuju dengan pemberian itu dan menuntut tanah seluas 3.2 hektar.

“Penduduk yang bersetuju tidak ada masalah dan gembira kerana penantian penyelesaian kemelut lebih 20 tahun akhirnya diselesaikan dengan campur tangan kerajaan negeri, kami menerima apa yang diberi syarikat berkenaan,” katanya, semalam.

Katanya, semuanya diuruskan kerajaan termasuk proses tanam semula pokok getah dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Apa yang mengecewakan apabila ada pihak luar datang ke kampung ini menghasut penduduk dengan perkara tidak betul sedangkan kes ini sudah selesai di mahkamah,” katanya.

Sebelum ini, tanah itu adalah ladang gula milik Syarikat Gula Negeri Sembilan yang ditutup menyebabkan sebahagian tanah seluas 2,000 hektar dilupuskan kepada Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) secara pajakan selama 99 tahun.

PKNNS kemudian memajakkan tanah itu selama 66 tahun kepada syarikat The Great Allonioners Trading Corporation Bhd (GATCO) pada 1977, manakala penduduk dibawa masuk ke rancangan tanah itu dan membayar antara RM4,000 hingga RM7,000 untuk memiliki tanah rumah dan kebun.

GATCO bagaimanapun menghadapi masalah kewangan menyebabkan tanah yang dicagar kepada bank dirampas sebelum diambil alih oleh Danaharta dan dalam satu lelongan awam, Thamarai Holdings membeli tanah itu pada 2007.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, seramai 16 individu ditahan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan dibawa ke Balai Polis Ayer Hitam untuk siasatan lanjut.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 9:01am
d