mutakhir

Geng langgar, samun kembali mengganas

Kajang: Selepas dua bulan menyepi, geng penjenayah langgar dan samun kenderaan di daerah ini dikesan mengganas kembali.

Terbaru, seorang pemilik kedai aksesori disamun di Lebuh raya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) berhampiran stesen minyak di Taman Sungai Besi Indah, di sini.

Dalam kejadian jam 8.50 malam kelmarin, mangsa berusia 48 tahun yang memandu kereta Honda Civic dilanggar di bahagian belakang kereta Proton Waja hijau.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa yang tidak mengesyaki perbuatan itu disengajakan memberhentikan kereta berhampiran hentian bas di kawasan Bukit Belimbing untuk melihat keadaan keretanya.

“Ketika itu tiga lelaki menghampirinya sebelum menolak mangsa dan melarikan kereta miliknya.

“Dalam keadaan kelam-kabut itu, mangsa tidak sempat menyalin nombor pendaftaran kereta dipandu suspek,”katanya.

Beliau berkata, suspek terus memecut dan meninggalkan mangsa di kawasan berkenaan.

“Saya meminta orang ramai tidak berhenti jika kereta mereka dilanggar dari belakang terutama jika kereta yang melanggar mereka dinaiki lebih seorang lelaki.

“Kami percaya mereka adalah dari kumpulan sama yang melakukan kegiatan langgar dan samun sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, orang awam hanya perlu mendapatkan nombor pendaftaran kereta dan memandu ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 9:27am
d