mutakhir

Nama di FB Abu Hamzah Al Fateh

Kuala Lumpur: “Ini versi video hukuman bagi sesiapa yang mengkhianati Islam. (Ia) pengajaran untuk semua. Mungkin ada yang kata kejam (tapi) baik baca surah Al Anfal ayat 12 dan Muhammad ayat 4’.”

Itu antara kata-kata seorang rakyat Malaysia Muhamad Wanndy Mohamad Jedi, 25, dalam rakaman video yang memaparkan kehadirannya dalam insiden seorang rakyat Syria disembelih di kem tahanan Raqqa, Syria kerana dikatakan menjadi pengintip kepada rejim tentera presiden Bashar al Assad.

Muhamad Wanndy dipercayai memuat naik rakaman itu ke dalam akaun Facebook (FB) miliknya yang menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh.

Turut tertera bersama rakaman itu ialah tulisannya mengenai kisah hidup lampaunya.

“Sepuluh tahun lepas aku budak yang mak bapa di kampung senarai hitamkan anak-anak mereka untuk berkawan dengan aku. Ya lah, aku nakal...jahat, tapi dengan jihad Allah memuliakan aku dengan kawan-kawan yang ramai dan memahami kelemahan diri ini,” katanya.

Pemerhatian wartawan ke atas akaun FB berkenaan mendapati kali terakhir dikemas kini pada 22 Februari lalu yang memuat naik status yang menyatakan pemilik akaun itu berada dalam keadaan aman serta di tempat yang selamat kerana menegakkan hukum Allah.

“Siapa kata kami di sini tak aman, tak makan dan lain-lain, serius di sini aman, letak saja barangan berharga seperti telefon dalam raga motor, tiada siapa berani ambil kecuali tak sayang tangan,” kata Muhamad Wanndy lagi.

Mengulas klip video dan status FB Muhamad Wanndy itu, Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, surah Al Anfal ayat 12 dan Muhammad ayat 4 di dalam al-Quran tidak pernah menghalalkan orang Islam membunuh sesiapa.

“Kita tidak boleh menghalalkan darah sesiapa walaupun orang kafir, apatah lagi sesama Islam kecuali atas hak misalnya qisas iaitu jenayah bunuh dibalas dengan bunuh tapi itu bukan seperti mereka (IS) lakukan ini,” katanya.

Terjemahan surah Al Anfal ayat 12 ialah: “Ingatlah ketika Tuhanmu wahyukan kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku menyertai kamu (memberi pertolongan), maka tetapkanlah (hati) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir dengan perasaan gerun; oleh itu, pancunglah leher mereka (musuh) dan potonglah tiap-tiap anggota mereka”

Antara sebahagian terjemahan surah Muhammad ayat 4 pula ialah: “Dengan yang demikian, apabila kamu berjuang menentang orang-orang kafir (dalam peperangan jihad) maka pancunglah lehernya.”

Dr Abdul Shukor berkata, apa yang dilakukan pengikut IS ternyata menyalahi syariat Islam dan maksud sebenar jihad adalah berbeza daripada apa yang sering mereka laungkan.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 9:30am
d