mutakhir

Video dirakam Mohd Faris

Kuala Lumpur: “Ini rakaman video pertama yang kita peroleh, menunjukkan kehadiran rakyat Malaysia di lokasi kejadian penyembelihan,” kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, semalam.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai dua rakyat Malaysia yang disyaki menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) dan terbabit dengan insiden menyembelih seorang rakyat Syria yang ditawan di kem tahanan Raqqa, Syria.

Menurutnya, ia dibuktikan menerusi satu rakaman video berdurasi 30 saat dimuat naik di laman sosial Facebook milik individu yang menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Februari lalu.

“Rakaman itu memaparkan seorang lelaki Syria disembelih seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip rejim tentera Bashar al Assad. Seorang lelaki dipercayai rakyat Indonesia kemudian memegang dan mengangkat kepala mangsa yang disembelih itu.

“Kita sudah kenal pasti video itu dirakam seorang anggota IS Malaysia dikenali sebagai Mohd Faris Anuar yang berusia 20 tahun. Dia yang berasal dari Gurun, Kedah didapati ke Syria pada 23 September 2014,” katanya.

Ayob Khan berkata, turut berada dalam rakaman video itu ialah seorang rakyat Malaysia dikenali sebagai Muhamad Wanndy Mohamad Jedi.

Menurutnya, Muhamad Wanndy, 25, ialah pemilik akaun FB Abu Hamzah Al Fateh dan dipercayai bertanggungjawab memuat naik video penyembelihan itu dalam akaunnya.

Beliau berkata, siasatan polis mendapati Muhamad Wanndy, berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan menyertai kumpulan IS di Syria pada 26 Januari lalu bersama isteri Nor Mahmudah Ahmad, 26, yang berasal dari Baling, Kedah.

“Siasatan setakat ini juga mendapati ada lapan pasangan suami isteri rakyat Malaysia kini berada di Syria kerana menyertai IS dan sebahagian mereka ada lima anak berusia satu hingga 12 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2015 @ 9:31am
d