mutakhir

Anak bekas penasihat Dr Mahathir rentung

Kuala Lumpur: “Saya tidak sangka ada lelaki terbakar dalam kereta itu. Lebih mengejutkan apabila mangsa adalah anak seorang Tan Sri,” kata seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Halim, 30-an.

Dalam kejadian jam 10.34 pagi semalam, saksi itu menemui sebuah kereta Perodua Myvi sedang marak terbakar di kawasan sunyi berhampiran Lorong Setia Bestari 2, Bukit Damansara di sini.

Lebih mengejutkan apabila mangsa berusia 40-an itu ditemui mati hanya kira-kira 500 meter dari kediaman mewah miliknya.

Halim berkata, dia mulanya menyangka berlaku kebakaran hutan di kawasan itu.

“Saya kemudian segera menghubungi bomba sebelum satu jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Taman Tun Dr Ismail datang memadamkan kebakaran itu.

“Namun, saya terkejut apabila mengetahui sebuah kereta terbakar dan seorang mangsa rentung di dalamnya,” katanya.

Sementara itu, seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mangsa yang belum berkahwin itu mempunyai masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, mangsa keluar dari rumah jam 9 pagi semalam tanpa memberitahu arah dituju.

“Bagaimanapun kami terkejut apabila pihak polis muncul dan meminta kami membuat pengecaman mayat mangsa di lokasi.

“Sebaik melihat kereta itu, saya yakin mayat rentung terbabit adalah ahli keluarga kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Difahamkan, mangsa adalah anak kepada bekas penasihat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Disiarkan pada: March 6, 2015 @ 7:11am
d